Pada hari Ahad, 25 Mei 2025, satu Lawatan Diraja yang penuh istiadat telah berlangsung di tapak projek Stesen ECRL Kuala Terengganu, melibatkan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, serta Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Dato’ Seri Muhammad Mua’az Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.
Keberangkatan baginda berdua telah diiringi oleh Dato’ Sri Darwis bin Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), yang turut memberikan taklimat berkenaan kemajuan projek ECRL serta kepentingannya kepada pembangunan ekonomi dan jaringan pengangkutan di negeri Terengganu.
Turut hadir dalam sesi lawatan diraja ini ialah barisan kepimpinan daerah dan agensi teknikal termasuk:
-
YBrs. Encik Khairil Anuar bin Sheikh Mahmood, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang
-
YBrs. Encik Zulkifly bin Isa, Pegawai Daerah Marang
-
YDH Supt. Mohd Sofian bin Redzuan, Ketua Polis Daerah Marang
-
YBrs. Ir. Ts. Mohd Khairul Amir bin Mohd Jamil, Jurutera Daerah Marang
-
Tuan Setiausaha Majlis Daerah Marang
-
Serta pegawai-pegawai daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Majlis Daerah Marang (MDM), dan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL)
Lawatan ini mencerminkan keprihatinan dan sokongan berterusan pihak istana terhadap projek-projek infrastruktur strategik negeri, khususnya dalam memastikan pembangunan yang dirancang memberi manfaat langsung kepada rakyat. Selain itu, sesi ini turut menjadi platform penting bagi menilai kemajuan fizikal projek dan koordinasi antara agensi yang terlibat dalam pelaksanaan ECRL di Terengganu.