Hari Sukan Majlis Daerah Marang 2025 Sesi Pertama: Semarak Semangat Kesukanan dan Kebersamaan

24 Julai 2025 (Khamis) – Hari Sukan Majlis Daerah Marang 2025: Sesi Pertama Meriah di Kompleks Wakaf Tapai dan Gelanggang Futsal Kesra, Paya

Majlis Daerah Marang telah menganjurkan Hari Sukan MDM 2025 bagi sesi pertama yang berlangsung meriah pada 24 Julai 2025 bertempat di Dewan Kompleks Wakaf Tapai dan Gelanggang Futsal Kesra, Paya. Program ini dianjurkan sebagai inisiatif untuk menggalakkan budaya hidup sihat, meningkatkan semangat kesukanan serta memupuk hubungan harmoni dalam kalangan warga kerja Majlis Daerah Marang.

Pelbagai acara sukan telah dipertandingkan dalam sesi kali ini antaranya termasuk sukan bowling, carem, badminton dan futsal. Semua acara dijalankan dalam suasana yang penuh semangat, dengan penyertaan aktif daripada pelbagai bahagian dan unit dalam organisasi.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pemenang atas kejayaan masing-masing serta setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta yang telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang acara berlangsung. Diharapkan penganjuran sukan ini dapat diteruskan sebagai medium untuk memperkukuh kerjasama dan motivasi dalam kalangan kakitangan Majlis.

516394982 770976678946947 9203250444945797503 n

Festival Sukan Pantai PKKB 2025 Semarakkan Semangat Komuniti di Pantai Pulau Kekabu

Pada 19 Julai 2025 (Ahad), satu program berimpak komuniti iaitu Festival Sukan Pantai Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) 2025) telah berlangsung dengan meriah di Pantai Pulau Kekabu, Marang. Program ini telah dirasmikan oleh Tuan Setiausaha Majlis Daerah Marang, YBrs. Encik Mohd Yusof bin Salleh yang mewakili Tuan Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, YBrs. Encik Khairil Anuar bin Sheikh Mahmood.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Ketua Polis Daerah Marang, YDH Supt. Mohd Sofian bin Redzuan, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Marang, Encik Lukman Hadi bin A. Rasyid, serta Ahli-ahli Majlis Majlis Daerah Marang yang turut bersama memeriahkan suasana festival.

Pelbagai acara sukan pantai telah diadakan sepanjang program ini, antaranya ialah senamrobik, penalti bola pantai, bola jaring pantai, tarik tali, serta dua aktiviti menarik yang melibatkan penyertaan kanak-kanak iaitu pertandingan membina istana pasir dan lumba lari dalam guni. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menyemarakkan semangat komuniti, malah menggalakkan gaya hidup sihat serta memupuk perpaduan dalam kalangan penduduk setempat.

Tahniah dan penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan penganjuran festival ini. Majlis Daerah Marang komited dalam memperkukuhkan hubungan komuniti ke arah bandar yang lebih mampan, sejahtera dan rendah karbon.

 

519594608 765332942844654 7333498903957440248 n

Keberangkatan DYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu ke Tapak Projek Menaik Taraf Jambatan Marang dan Dataran Batu Putih

Pada hari Ahad, 22 Jun 2025, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin telah mencemar duli berangkat meninjau Tapak Projek Menaik Taraf Jambatan Marang dan Dataran Batu Putih, sebuah projek pembangunan berimpak tinggi yang bakal menjadi mercu tanda baharu dan tarikan pelancongan utama di daerah Marang.

Keberangkatan DYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu ini mencerminkan keprihatinan dan sokongan berterusan pihak istana terhadap inisiatif pembangunan infrastruktur negeri yang bukan sahaja memacu kemajuan daerah, malah berpotensi meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat setempat.

Dalam sesi lawatan ini, baginda telah diiringi oleh barisan kepimpinan utama negeri dan daerah, termasuk:

  • Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, YBrs. Encik Khairil Anuar bin Sheikh Mahmood

  • Pegawai Daerah Marang, YBrs. Encik Zulkifly bin Isa

  • Jurutera Daerah Marang, YBrs. Ir. Ts. Mohd Khairul Amir bin Mohd Jamil

  • Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, YBrs. Encik Hilman bin Hajijan

  • Timbalan Pengarah UPEN, Encik Wan Muhd Masyhum bin Wan Harujan

  • Tuan Setiausaha Majlis Daerah Marang, Encik Mohd Yusof bin Salleh

Lawatan ini turut memberi ruang kepada taklimat ringkas berkenaan status semasa projek dan perbincangan teknikal berkaitan penyelarasan pelaksanaan pembangunan. Momen bersejarah ini menyerlahkan kolaborasi erat antara pihak istana, jabatan teknikal, dan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memperkasakan pembangunan bersepadu di negeri Terengganu.

504250612 745093344868614 5287565800320039501 n

 

Program Tautan Kasih Ibadah Korban 1446H/2025M Anjuran Majlis Daerah Marang

Pada hari Selasa, 10 Jun 2025 bersamaan 13 Zulhijjah 1446H, Majlis Daerah Marang (MDM) telah menganjurkan Program Tautan Kasih Ibadah Korban 1446H/2025M sebagai inisiatif tahunan dalam menyemarakkan semangat kebersamaan, keprihatinan sosial dan penghayatan ibadah korban di kalangan warga kerja serta komuniti setempat.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran YB Dato’ Haji Mohd Nor bin Hamzah, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, yang sudi meluangkan masa bersama warga majlis dan penduduk setempat dalam memeriahkan majlis ibadah korban tersebut. Turut hadir ialah Ahli-ahli Majlis Daerah Marang serta wakil-wakil daripada DUN Rhu Rendang, Alor Limbat dan Pengkalan Berangan, yang bersama-sama menyumbang kepada kejayaan program ini.

Pelaksanaan ibadah korban ini bukan sahaja mencerminkan nilai keagamaan dan rasa syukur sempena sambutan Aidiladha, malah memperkukuhkan jalinan silaturrahim antara pihak berkuasa tempatan dan masyarakat di sekitar daerah Marang. Ia juga menjadi medan untuk menzahirkan semangat gotong-royong serta kesedaran sosial dalam kalangan kakitangan dan komuniti yang terlibat.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada semua kakitangan Majlis Daerah Marang yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini dengan penuh dedikasi dan semangat berpasukan. Semoga segala usaha yang dicurahkan mendapat ganjaran dan keberkatan daripada Allah SWT.

495172868 734658832578732 556409177693663463 n

Tindakan Segera MDM terhadap Aduan Alatan Permainan Rosak di Taman Rekreasi

Rentetan daripada aduan awam yang telah ditularkan baru-baru ini berkenaan kerosakan alatan permainan di salah sebuah taman rekreasi di bawah seliaan Majlis Daerah Marang (MDM), pihak Bahagian Landskap dengan kerjasama Unit Tukang MDM telah segera mengambil tindakan susulan sebagai langkah keselamatan dan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan terhadap kesejahteraan komuniti.

Langkah awal yang diambil oleh pasukan teknikal adalah membuang bahagian alatan permainan yang dikenal pasti mengalami kerosakan serius dan berpotensi mendatangkan risiko kepada pengguna, khususnya kanak-kanak. Selain itu, tali amaran keselamatan telah dipasang mengelilingi kawasan yang terlibat, sebagai peringatan dan langkah kawalan sementara bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku kepada pengunjung taman.

Pihak MDM memandang serius terhadap setiap aduan yang diterima dan komited untuk memastikan kemudahan awam sentiasa berada dalam keadaan selamat, terurus dan mesra pengguna. Tindakan penyelenggaraan susulan dan penggantian alatan akan dilaksanakan mengikut keperluan serta peruntukan sedia ada.

493553689 729828109728471 613432866646907643 n

MARANG DISTRICT COUNCIL,
21600 Marang,
Terengganu Darul Iman.

Sunday - Wenesday : 8.00am - 5:00pm

Thurday : 8.00 am-3.50 pm

Public Line : +609 618 2366 / +609 618 2368

Fax : +609 618 2490

Total Visitor :

0001274710
  • Latest Update : Thursday 31 July 2025.

Disclaimer : Marang District Council is not responsible for any loss or damage incurred from the use of information contained in this portal.

Best View : Please use latest version of browser of Internet Explorer / Mozilla Firefox / Google Chrome with resolution 1920 x 1080.

Copyright © 2025 Marang District Council.